Error
  • JUser: :_load: Unable to load user with id: 45

logoleft_pmi

icon_wearound

CARIAN PUSAT PEMERIKSAAN

Cari Pusat PUSPAKOM terdekat anda

icon_family

SERTAI KAMI

Jawatan Kosong Terkini

Print

10 Soalan Lazim

Apakah pemeriksaan yang saya perlukan?

PUSPAKOM menawarkan pelbagai pemeriksaan, mandatori dan sukarela. Untuk maklumat tentang setiap pemeriksaan dan mengetahui pemeriksaan yang bersesuaian untuk anda dan kenderaan anda, sila lihat Jenis-jenis Pemeriksaan kami.

Apakah yang dimaksudkan dengan Pemeriksaan Berkala, dan mengapa ia perlu dilakukan?

Ia adalah satu keperluan mandatori bagi semua kenderaan perdagangan untuk menjalani Pemeriksaan Berkala dengan kami setiap 6 bulan untuk memperakui pematuhan kepada Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Untuk mengetahui apakah yang diperlukan untuk pemeriksaan ini, lihat maklumat terperinci tentang Pemeriksaan Berkala.

Berapakah kos pemeriksaan yang dilakukan?

Bayaran pemeriksaan bergantung pada jenis pemeriksaan dan kenderaan anda. Untuk maklumat bayaran, sila pergi ke laman web kami dan pilih:

  • a. Kategori Kenderaan yang sesuai (Perdagangan atau persendirian)
  • b. Bayaran pemeriksaan untuk Sub-kategori Kenderaan.

Untuk senarai penuh bayaran, sila klik di sini.

Bagaimana saya boleh mengetahui waktu operasi Pusat Pemeriksaan?

Sila gunakan Carian Pusat Pemeriksaan kami untuk mencari Pusat Pemeriksaan terdekat. Maklumat tentang waktu operasi setiap Pusat boleh didapati di sini.

Bolehkah PUSPAKOM datang ke tempat saya untuk memeriksa kenderaan saya?

Ya, kami menawarkan perkhidmatan Pemeriksaan Bergerak Premier, yang boleh datang ke lokasi pilihan anda, mengikut keselesaan anda. Untuk maklumat lengkap, sila klik di sini.

Apa yang berlaku selepas pemeriksaan dijalankan?

Apa yang berlaku selepas pemeriksaan adalah berbeza bergantung pada jenis pemeriksaan yang anda lakukan di PUSPAKOM.

Langkah seterusnya dan pautan ke agensi berkaitan diberikan dengan maklumat tentang setiap jenis pemeriksaan. Sila rujuk Jenis-jenis Pemeriksaan kami.

Apakah dokumen yang perlu saya bawa untuk Pemeriksaan?

Kami perlu melihat dokumen tertentu apabila anda membawa kenderaan anda untuk pemeriksaan, dan dokumen akan berbeza bergantung pada pemeriksaan.

Maklumat tentang dokumentasi diberikan bagi setiap jenis pemeriksaan. Sila rujuk Jenis-jenis Pemeriksaan kami.

Apakah yang dimaksudkan dengan pemeriksaan B2?

Pemeriksaan B2 dilakukan apabila:

  • a) Kenderaan anda telah diubah suai (mengubah spesifikasi enjin, casis, badan atau had berat muatan
  • b) Kenderaan import.
  • c) Cukai jalan anda telah tamat tempoh lebih daripada satu tahun (ini terpakai kepada kenderaan persendirian sahaja)

Dalam keadaan ini, kenderaan anda perlu untuk menjalani Pemeriksaan Khas.

Apakah yang dimaksudkan dengan pemeriksaan B5?

Sebelum anda menjual mana-mana kenderaan, ia perlu menjalani Pemeriksaan Tukar Milik.

Apakah pemeriksaan HPI dan mengapa saya perlu lakukannnya?

Pemeriksaan Sewa Beli (HPI) diperkenalkan pada Jun 2011 dalam usaha melindungi pembeli kenderaan pra-milik daripada membeli kenderaan yang tidak sah dari segi undang-undang atau tidak selamat digunakan di jalan raya. Kini ia merupakan keperluan undang-undang untuk kenderaan diperiksa oleh PUSPAKOM sebelum pinjaman boleh diberikan.
Untuk maklumat lanjut, lihat HPI

end faq

Perkhidmatan PMI

Apakah PMI mengeluarkan laporan / keputusan yang sama seperti laporan / keputusan yang dikeluarkan di Pusat Pemeriksaan PUSPAKOM?

Ya, laporan / keputusannya adalah sama.

Bolehkah saya meminta pemeriksaan PMI dilakukan pada hari Sabtu, Ahad, atau hari-hari bekerja selepas pukul 6 petang?

Waktu operasi PMI kami adalah pada hari Isnin hingga Jumaat, pukul 9 pagi hingga 6 petang sahaja.

Bagi PMI, adakah pemeriksa kenderaan datang ke tempat saya dengan menaiki motor atau kereta?

Pengangkutan utama pemeriksa kenderaan kami adalah van PMI, dilengkapi dengan kit pemeriksaan. Laporan pemeriksaan anda akan dicetak daripada komputer dalam kenderaan.

end faq

Jenis-jenis Pemeriksaan

Saya ingin menjual kereta saya, pemeriksaan apakah yang perlu saya lakukan?

Kenderaan anda perlu menjalani Pemeriksaan Tukar Milik (juga dikenali sebagai pemeriksaan B5).
Anda boleh membawa kenderaan anda ke mana-mana Pusat Pemeriksaan PUSPAKOM atau membuat temujanji dengan pasukan Pemeriksaan Bergerak Premier untuk datang ke lokasi pilihan anda.

Apakah yang akan berlaku jika cukai jalan saya telah tamat tempoh??

Jika cukai jalan anda telah tamat tempoh lebih dari satu tahun, anda perlu menghantar kenderaan itu untuk Pemeriksaan B2 di PUSPAKOM. Ini adalah keperluan mandatori yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Jika cukai jalan tamat tempoh kurang daripada satu tahun yang lalu, anda tidak perlu menghantar kenderaan itu untuk pemeriksaan.

Saya mahu mendaftar kenderaan yang diimport : apakah jenis pemeriksaan yang perlu saya
lakukan?

Mana-mana kenderaan yang diimport, baru atau terpakai, perlu menjalani Pemeriksaan Khas (juga dikenali sebagai pemeriksaan B2).
Anda boleh membawa kenderaan anda ke mana-mana Pusat Pemeriksaan PUSPAKOM atau membuat temujanji dengan pasukan Pemeriksaan Bergerak Premier untuk datang ke lokasi pilihan anda.

Saya telah mengubah suai spesifikasi teknikal kenderaan saya: apakah jenis pemeriksaan yang perlu saya lakukan?

Jika kenderaan anda mempunyai perubahan spesifikasi enjin, casis atau badan, atau naik taraf berat muatan, ia perlu menjalani Pemeriksaan Khas (juga dikenali sebagai pemeriksaan B2).
Anda boleh membawa kenderaan anda ke mana-mana Pusat Pemeriksaan PUSPAKOM atau membuat janji temu dengan pasukan Pemeriksaan Bergerak Premier untuk datang ke lokasi pilihan anda.

Apakah VR1?

Ini adalah laporan pemeriksaan kenderaan yang kami keluarkan kepada anda selepas melakukan mana-mana pemeriksaan.

Apakah yang dimaksudkan dengan pemeriksaan B2?

Pemeriksaan B2 dilakukan apabila:

  • a) Kenderaan anda telah diubah suai (mengubah spesifikasi enjin, casis,  badan atau had berat muatan).
  • b) Kenderaan import.
  • c) Cukai jalan anda telah tamat tempoh lebih dari satu tahun (ini terpakai untuk kenderaan persendirian sahaja).

Dalam keadaan ini, kenderaan anda perlu menjalani Pemeriksaan Khas.

Apakah yang dimaksudkan dengan pemeriksaan B5?

Sebelum anda menjual mana-mana kenderaan, ia perlu menjalani Pemeriksaan Tukar Milik. Untuk maklumat lanjut, sila klik di sini.

Apakah yang dimaksudkan dengan pemeriksaan B6?

Pemeriksaan IVIC ialah pemeriksaan ke atas kenderaan di pelabuhan Malaysia. Ia juga dikenali sebagai B6. Untuk maklumat lanjut, sila klik di sini.

Apakah yang dimaksudkan dengan pemeriksaan B7?

Mana-mana individu atau organisasi yang memohon pinjaman untuk membeli kenderaan terpakai perlu mengesahkan bahawa kenderaan itu telah menjalani Pemeriksaan Sewa Beli, juga dikenali sebagai B7. Maklumat lanjut mengenai HPI di sini.

end faq

Sebelum Pemeriksaan

Adakah PUSPAKOM memberitahu saya apabila tiba masanya untuk saya menghantar kenderaan saya untuk pemeriksaan?

Tidak. Tetapi tarikh untuk pemeriksaan seterusnya ditunjukkan pada cakera pemeriksaan dan Laporan VRI anda.

Apakah yang akan berlaku jika saya terlewat membuat pemeriksaan mandatori kenderaan?

Di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, setiap kenderaan perdagangan perlu menjalani pemeriksaan berkala setiap 6 bulan. Jika pemilik kenderaan gagal berbuat demikian, kenderaan itu boleh diambil dan diimpaun oleh Jabatan Pengangkutan Jalan memandangkan kenderaan itu tidak dibenarkan berada di jalan raya. Apabila kenderaan anda telah diambil dari paun, anda mesti membawa kenderaan anda untuk menjalani pemeriksaan.

Adakah saya perlu membuat temujanji untuk pemeriksaan?

Untuk pengurusan masa yang lebih baik, adalah dinasihatkan untuk membuat temujanji sebelum pemeriksaan.

Untuk Pemeriksaan Berkala, tarikh temujanji telah ditetapkan pada perakuan pemeriksaan, selain daripada itu, sila hubungi Pusat Pemeriksaan berhampiran anda untuk membuat temujanji

Untuk Pemeriksaan Awal, sila hubungi Pusat Pemeriksaan berhampiran anda untuk membuat temujanji.

Berapa lamakah tempoh untuk saya membuat temujanji untuk pemeriksaan?

Bagi Kenderaan Perdagangan kami cadangkan membuat janji temu 2 atau 3 hari sebelum pemeriksaan anda. kami cadangkan 1 hari sebelumnya.

Bolehkah saya mengatur semula janji temu untuk pemeriksaan??

Ya. Sila hubungi Pusat Pemeriksaan untuk menjadualkannya semula.

Bolehkah sesiapa sahaja membawa kenderaan untuk pemeriksaan, atau hanya pemilik berdaftar / pekerja organisasi (sekiranya kenderaan perdagangan atau kerajaan)?

Sesiapa sahaja boleh membawa kenderaan untuk pemeriksaan. Dasar kami ialah satu kenderaan, satu pemandu dan satu set dokumen.

Apakah yang akan berlaku jika saya datang lewat untuk janji temu pemeriksaan?

Jika anda terlepas waktu janji temu anda, anda akan dianggap sebagai pelanggan ‘pandu masuk’ dan dengan itu akan menyertai barisan ‘pandu masuk’.

Apakah dokumen yang diperlukan untuk pemeriksaan Pemeriksaan Khas / B2?

Terdapat sebab berbeza bagi kenderaan yang menjalani pemeriksaan ini. Sila rujuk maklumat dalam ruang Pemeriksaan Khas untuk mencari arahan yang berkaitan dengan situasi anda.

Apakah dokumen yang diperlukan untuk Pemeriksaan Tukar Milik / B5??

Anda perlu mengemukakan kad pendaftaran kenderaan yang asal apabila anda membawa kenderaan untuk pemeriksaan.

end faq

Semasa Pemeriksaan

Apa yang berlaku apabila saya membawa kenderaan saya untuk pemeriksaan?

Salah seorang Pemeriksa Kenderaan kami yang berkelayakan akan menyambut anda dan mengambil kenderaan anda dan dokumen yang berkaitan untuk pemeriksaan. Semasa pemeriksaan, anda boleh menunggu di ruang menunggu yang ditetapkan. Apabila pemeriksaan selesai, kami akan mengeluarkan laporan pemeriksaan kenderaan kepada anda.

Berapa lama masa pemeriksaan kenderaan dilakukan?

Kami mempunyai standard perkhidmatan yang digunakan untuk setiap jenis pemeriksaan. Untuk mengetahui berapa lama masa yang diambil untuk pemeriksaan kenderaan anda, sila rujuk standard perkhidmatan kami.

Bolehkah saya melihat pemeriksaan kenderaan saya dijalankan?

Atas sebab kesihatan dan keselamatan, kami lebih suka pelanggan menunggu di ruang menunggu yang ditetapkan. Bagi kes di mana pelanggan tidak berpuas hati dengan hasil pemeriksaan kenderaan mereka, kami boleh membenarkan mereka masuk ke kawasan pemeriksaan untuk melihat pemeriksaan yang dijalankan.

Pemilik kenderaan persendirian yang ingin datang untuk pemeriksaan secara sukarela boleh melihat proses pemeriksaan.

Bolehkah saya meninggalkan kenderaan saya di pusat pemeriksaan dan mengambilnya kemudian?

Tidak. Anda perlu berada di premis dan mengambil kenderaan anda sebaik sahaja pemeriksaan itu selesai.

Apakah yang akan diperiksa oleh pemeriksa kenderaan semasa pemeriksaan?

Oleh sebab semua pemeriksaan adalah berbeza, sila rujuk maklumat dalam ruang Pemeriksaan dan Perkhidmatan untuk mengetahui apa yang diperiksa pada setiap jenis pemeriksaan.

Mengapa anda menggosok kawasan nombor casis semasa pemeriksaan?

Kami mengesan nombor casis untuk mengesahkan bahawa nombor identiti berpadanan dengan nombor pada dokumen pendaftaran kenderaan.

Mengapa anda perlu melihat nombor enjin semasa pemeriksaan?

Kami akan mengesahkan bahawa nombor identiti unik enjin berpadanan dengan nombor pada dokumen pendaftaran kenderaan.

Apakah pemeriksaan secara visual?

Ini bermaksud kami memeriksa keadaan fizikal keseluruhan kenderaan tanpa menguji mana-mana peralatan kenderaan. Contohnya lampu, cermin tingkap, bampar, keadaan badan.

Mengapakah anda ingin membuka getah di bingkai cermin? Adakah ini akan merosakkan getah tersebut?

Tindakan ini adalah untuk mengesahkan/mengesan jejak potong dan sambung. Jangan bimbang, kami terlatih dan tidak akan merosakkan getah tersebut. Kami akan meletakkannya semula dalam keadaan asal selepas pemeriksaan.

Apakah kadar kelulusan bagi cermin gelap?

Mengikut had undang-undang, kadar kelulusan untuk cermin depan ialah sekurang-kurangnya 70% dan 50% untuk cermin tingkap sisi dan belakang.

Bolehkah anda memeriksa sama ada enjin kenderaan saya berfungsi dengan baik?

Tidak, kami hanya melakukan pemeriksaan visual semasa pemeriksaan. Pemeriksaan visual boleh mengenal pasti beberapa masalah: contohnya jika minyak bocor, ia akan dilihat semasa pemeriksaan dan akan dilaporkan.

Pemeriksa Kenderaan berpengalaman kami boleh memberitahu anda secara tidak rasmi jika mereka mengesan atau mengesyaki sesuatu yang luar biasa semasa pemeriksaan, tetapi perkara ini tidak akan dimasukkan ke dalam laporan.

end faq

Keputusan Pemeriksaan

Apa yang perlu saya lakukan jika kenderaan saya gagal dalam pemeriksaan?

Pegawai pemeriksa kenderaan akan memberitahu anda sebab kegagalan pemeriksaan, dan langkah seterusnya yang boleh anda ambil.

Sebagai contoh, jika pemeriksaan itu gagal kerana:

  • a) Cermin gelap: kami akan menasihatkan anda supaya menanggalkan lapisan berwarna / menukar cermin.
  • b) Nombor enjin: Kami menasihatkan anda untuk mendapatkan pengesahan daripada JPJ.
  • c) Nombor casis: Kami menasihatkan anda untuk mendapatkan pengesahan daripada JPJ.
  • d) Potong dan Sambung : Kami akan memberitahu anda bahawa kenderaan itu akan disenaraihitamkan.
  • e) Jika kenderaan anda gagal dalam pemeriksaan, anda perlu datang untuk Pemeriksaan Semula. Pemeriksa Kenderaan kami akan menerangkan proses seterusnya kepada anda.

Bagaimana saya boleh mendapatkan Laporan Pemeriksaan saya?

Sebaik sahaja pemeriksaan selesai, kami akan mengeluarkan laporan pemeriksaan kenderaan cetakan komputer kepada anda.

end faq

Selepas Pemeriksaan

Apakah yang berlaku di akhir pemeriksaan?

Apabila pemeriksaan selesai, kami akan mengeluarkan laporan pemeriksaan kenderaan anda. Segala pertanyaan boleh dijawab semasa penyerahan laporan pemeriksaan. Jika kenderaan anda gagal dalam pemeriksaan tersebut, anda perlu datang untuk Pemeriksaan Semula. Pemeriksa Kenderaan kami yang berkelayakan akan menjelaskan butiran bagi item yang gagal.

Bagaimanakah saya boleh memberi maklumbalas mengenai pengalaman saya di PUSPAKOM?

Kami gembira mendapat maklumbalas dari anda. Sila gunakan borang maklumbalas atau hantarkan e-mel kepada This e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Berapa lamakah tempoh untuk saya membetulkan masalah dan menghantar kenderaan untuk pemeriksaan semula selepas gagal dalam pemeriksaan?

Secepat yang mungkin atau maksimum 30 hari dari tarikh kegagalan.

Jika saya kehilangan laporan pemeriksaan atau cakera pemeriksaan saya, bolehkah saya mendapat ganti?

Ya, anda perlu kembali ke Pusat Pemeriksaan di mana pemeriksaan anda telah dijalankan. Di sana kami boleh mengeluarkan laporan pemeriksaan gantian dengan bayaran standard sebanyak RM25, dan cakera pemeriksaan dengan harga RM20.

Adakah PUSPAKOM memberi apa-apa jaminan?

Pemeriksaan boleh mengesahkan keadaan kenderaan dan ciri yang diperiksa sahaja pada masa pemeriksaan. Kami tidak dapat menjamin bahawa anda tidak akan mengalami sebarang isu atau kegagalan mekanikal.

Bagaimana jika saya tidak bersetuju dengan keputusan pemeriksaan kenderaan saya?

Jika anda tidak bersetuju dengan keputusan pemeriksaan, sila berjumpa Penyelia Operasi atau Pengurus Cawangan tentang perkara ini.

Adakah terdapat apa-apa tarikh sah / tamat tempoh untuk laporan pemeriksaan B5 atau B2?

Ya, laporan B5 (tukar milik) dan B2 adalah sah untuk 30 hari sahaja.

Apa yang perlu saya lakukan jika laporan pemeriksaan saya telah tamat tempoh?

Anda dikehendaki untuk menghantar kenderaan itu untuk pemeriksaan lain, mengikut prosedur yang sama seperti sebelum ini.

Bolehkah kami mendaftar kenderaan dengan JPJ sebaik sahaja pemeriksaan itu selesai?

Anda boleh mendaftar dengan JPJ selepas satu jam. Ia mengambil masa sebanyak itu untuk data tersebut dipindahkan dan dimuat naik ke pelayan JPJ.

end faq

Bayaran

Berapakah kos pemeriksaan yang dilakukan?

Bayaran pemeriksaan bergantung pada jenis pemeriksaan dan kenderaan anda. Untuk maklumat tentang bayaran, sila layari laman web kami dan pilih:

  1. Kategori Kenderaan yang sesuai (Perdagangan atau Persendirian)
  2. Bayaran pemeriksaan untuk Sub-kategori Kenderaan.

Untuk senarai penuh bayaran, sila klik di sini.

Bagaimanakah saya boleh membuat bayaran?

Anda boleh membayar dengan wang tunai atau cek syarikat. (Tertakluk kepada kelulusan Ibu Pejabat PUSPAKOM).

Adakah saya perlu membuat bayaran jika kenderaan gagal dalam pemeriksaan?

Anda perlu membuat bayaran yang sepatutnya sebelum pemeriksaan, dan wang itu tidak akan dikembalikan.

Saya merasakan bahawa caj perkhidmatan PMI agak mahal: adakah terdapat apa-apa diskaun atau promosi?

PMI ialah perkhidmatan primer tambahan kepada pelanggan dan caj perkhidmatan ditetapkan sebanyak RM100. Anda boleh membawa kenderaan ke mana-mana Pusat Pemeriksaan PUSPAKOM dan tidak dikenakan apa-apa caj perkhidmatan.

end faq

Lokasi dan Perkhidmatan

Di manakah Pusat Pemeriksaan PUSPAKOM yang paling hampir dengan saya ?

Terdapat lebih daripada 80 Pusat Pemeriksaan di seluruh Malaysia. Sila gunakan Carian Pusat Pemeriksaan kami untuk mencari Pusat Pemeriksaan yang berdekatan.

Saya tidak tinggal berhampiran dengan Pusat Pemeriksaan, adakah perkhidmatan lain yang PUSPAKOM tawarkan?

Bagi pelanggan yang tinggal di luar pusat bandar, kami menawarkan perkhidmatan bergerak dan perkhidmatan kunjungan cawangan. Maklumat perkhidmatan ini boleh didapati di sini.

Apakah waktu pembukaan Pusat Pemeriksaan?

Kebanyakan Pusat Pemeriksaan kami beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 5 petang, hari Isnin hingga Jumaat, tetapi ini berbeza dari lokasi ke lokasi. Waktu pembukaan hujung minggu juga berbeza, oleh itu sila semak waktu pembukaan di Pusat yang ingin anda kunjungi menggunakan Carian Pusat Pemeriksaan kami.

end faq

Soalan Lain

Mengapakah saya perlu menjalankan pemeriksaan kenderaan saya di PUSPAKOM?

Terdapat dua sebab utama anda perlu membawa kenderaan untuk pemeriksaan di PUSPAKOM.

Kebanyakan pemeriksaan kenderaan yang kami jalankan adalah mengikut keperluan undang-undang dan ianya adalah mandatori. PUSPAKOM merupakan satu-satunya syarikat pemeriksa kenderaan yang dilantik oleh Kerajaan Malaysia untuk menjalankan pemeriksaan mandatori ke atas kenderaan.

Oleh sebab keselamatan anda adalah keutamaan kami, kami mengesyorkan pemilik kenderaan persendirian agar membawa kenderaan mereka untuk pemeriksaan kerap bagi memastikan kenderaan mereka selamat digunakan di jalan raya dan tidak mempunyai apa-apa isu mekanikal yang boleh menyebabkan kemalangan atau kerosakan.


Apakah kebaikan pemeriksaan kenderaan?



Sebab utama bagi pemeriksaan kenderaan adalah untuk memastikan kenderaan anda selamat digunakan di jalan raya. Terdapat beberapa kebaikan seperti yang dinyatakan di sini.

Kenderaan saya baru sahaja diservis, jadi adakah ia perlu diperiksa juga?

PUSPAKOM adalah pakar pemeriksa kenderaan, manakala bengkel atau pusat servis menyediakan perkhidmatan servis sahaja. Oleh itu, semua pemeriksaan mandatori di PUSPAKOM masih diperlukan untuk mematuhi peraturan undang-undang.

Kenderaan saya masih baru. Adakah kenderaan baru perlu menjalani pemeriksaan?

Semua pemeriksaan mandatori di PUSPAKOM adalah perlu untuk mematuhi peraturan undang-undang. Tetapi kekerapan pemeriksaan adalah lebih rendah bagi kenderaan baru. Sila rujuk maklumat dalam Kekerapan Pemeriksaan untuk mengetahui berapa kerap anda perlu menghantar kenderaan anda untuk pemeriksaan.

Adakah terdapat apa-apa penalti sekiranya saya tidak mendapatkan pemeriksaan selepas cukai jalan tamat tempoh lebih daripada satu tahun?

Tiada penalti dikenakan. Walau bagaimanapun, anda tidak boleh memperbaharui cukai jalan anda. Oleh itu anda tidak akan dapat menggunakan kenderaan anda.

Bagaimana saya boleh memastikan bahawa pemeriksaan saya adil dan semua pelanggan dilayan sama?

Tiada diskriminasi di PUSPAKOM. Pemeriksa Kenderaan kami adalah terlatih dan tidak berat sebelah. Kami menggunakan peralatan ujian berkomputer untuk tempat pemeriksaan teknikal dan peralatan ini adalah ditentu ukur dalam memberikan keputusan ujian yang konsisten: jadi tidak ada campur tangan dalam keputusan.

Saya mempunyai kereta syarikat. Adakah ini dikelaskan sebagai kenderaan perdagangan dan adakah saya perlu membawanya ke PUSPAKOM untuk Pemeriksaan Berkala?

Kenderaan yang dimiliki oleh syarikat dan diberikan kepada pekerja untuk kegunaan peribadi adalah tidak dikelaskan sebagai kenderaan 'perdagangan' dan tidak perlu menjalani Pemeriksaan Berkala. Mana-mana kenderaan yang didaftarkan untuk kegunaan perdagangan perlu menjalani Pemeriksaan Berkala setiap 6 bulan.

Apakah yang perlu saya lakukan jika ejen atau 'runner' menghampiri saya?

Sesetengah ‘runner’ atau ejen akan mengatakan bahawa anda perlu menggunakan perkhidmatan mereka untuk memudahkan pemeriksaan kereta anda. Ini TIDAK benar:

- Anda tidak memerlukan ejen dan tidak perlu membayar mereka. Anda boleh menghantar sendiri kenderaan anda ke mana-mana Pusat Pemeriksaan PUSPAKOM dan hanya membayar yuran pemeriksaan seperti yang dinyatakan dalam jadual bayaran ini.

- Setiap pelanggan PUSPAKOM diberi layanan yang sama dan oleh itu, ejen tidak boleh mendapatkan hasil pemeriksaan yang berlainan untuk mana-mana pelanggan lain.

Sila hubungi kami jika anda tidak pasti tentang mana-mana bahagian dalam prosedur pemeriksaan. Kami gembira untuk membantu anda.

Bolehkah PUSPAKOM membaiki kenderaan saya?

PUSPAKOM hanya menyediakan perkhidmatan pemeriksaan dan tidak membuat pembaikan kenderaan. Bengkel boleh merujuk laporan pemeriksaan untuk maklumat tentang pembaikan yang diperlukan.

end faq

Bookmark and Share

PENGUMUMAN

Berita dan informasi terkini tentang PUSPAKOM dan perkhidmatannya.

POLISI PEMBERI MAKLUMAT

Kami menggalakkan anda untuk memaklumkan kepada kami jika anda mengesyaki atau mengetahui sebarang aktiviti salah laku, atau rasuah di PUSPAKOM.

SOALAN LAZIM

Untuk sebarang pertanyaan, sila rujuk soalan-soalan lazim di sini.