Urus Tadbir Korporat

INTEGRITI DAN URUS TADBIR

 

Pengantar

PUSPAKOM berjanji untuk mengekalkan tahap integriti dan tadbir urus yang tinggi di dalam urusan perniagaan dan operasi di mana Pihak Syarikat percaya bahawa ini dapat meningkatkan nilai dan kepercayaan pihak yang berkepentingan. Sebagai badan pemeriksaan kenderaan tunggal yang dilantik oleh Kementrian Pengangkutan Malaysia, PUSPAKOM dengan ini berikrar untuk menggalakkan budaya ketelusan, keadilan, dan kebertanggungjawapan di tempat kerja dengan melaksanakan aktiviti pemeriksaan berdasarkan undang-undang, prosedur dan polisi yang berkaitan.

Untuk menunjukkan standard kami dalam mengekalkan integriti, tadbir urus, ketelusan, kebertanggungjawapan, dan keadilan, PUSPAKOM telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menubuhkan Ikrar Integriti Korporat (CIP) dan juga membangunkan Polisi Anti Rasuah & Polisi Pemberian Maklumat sebagai saluran bagi pekerja, pelanggan, vendor, kontraktor, pembekal, pengedar, perunding, lain-lain pihak ketiga dan orang awam untuk melaporkan apa-apa kesalahan yang disyaki atau kelakuan tidak wajar.

Kerangka Kerja Integriti & Pematuhan PUSPAKOM (PUSPAKOM Integrity & Compliance Framework, “PICF”) (2021-2024)

PUSPAKOM telah mewujudkan PICF bagi tahun 2021 hingga 2024 sebagai salah satu usaha dan inisiatif PUSPAKOM dalam mendukung aspirasi kerajaan bagi memartabatkan budaya berintegriti. PICF adalah selaras dengan peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 17A (Liabiliti Korporat bagi kesalahan rasuah) Akta SPRM 2009 (Pindaan 2018) dan Tatacara Mencukupi dalam usaha memperkasakan pencegahan rasuah merangkumi Prinsip T.R.U.S.T. PICF diwujudkan sebagai rujukan utama pelan tindakan, inisiatif dan garis panduan PUSPAKOM dalam mengambil langkah-langkah efektif untuk mencegah pelakuan rasuah, salahguna kuasa dan isu integriti.

Objektif PICF adalah:

  • Memperkemas dan menyelaras dasar, prosedur, garis panduan dan inisiatif berkaitan integriti;
  • Memperkasa, memperkemas dan meningkatkan aktiviti berkaitan integriti; dan
  • Memastikan keberkesanan dan menambahbaik budaya integriti di kalangan pekerja.

Isi kandungan penuh PICF boleh dirujuk ke Kerangka Kerja Integriti & Pematuhan PUSPAKOM Versi 2022.

Memorandum Persefahaman (MOU)

MOU dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah dilaksanakan pada tahun 2011 dengan tujuan untuk membendung kegiatan rasuah di kalangan pekerja dan pihak luar. MOU ini menetapkan langkah kerjasama antara PUSPAKOM dan SPRM untuk memerangi sebarang tindakan yang tidak sah dan tidak beretika dalam kegiatan pemeriksaan serta memperbaiki persepsi masyarakat terhadap budaya integriti di dalam PUSPAKOM.

Ikrar Integriti Korporat (CIP)

Dalam usaha untuk memerangi risiko rasuah dan integriti, PUSPAKOM terus bekerjasama dengan SPRM dengan menandatangani Ikrar Integriti Korporat pada 9 Mac 2015. Pemeteraian CIP telah menandakan satu lagi peristiwa penting untuk PUSPAKOM secara konsisten dan terus bekerjasama dengan SPRM dalam mencegah dan mengurus risiko rasuah. Di bawah CIP, PUSPAKOM dengan ini berjanji:

  1. Tidak terlibat dalam kegiatan yang tidak sah atau tidak beretika yang melibatkan rasuah seperti yang ditetapkan di bawah Kod Etika dan Amalan Perniagaan PUSPAKOM dan mana-mana undang-undang dan perbuatan yang berkaitan, tidak terhad kepada Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 atau Kanun Keseksaan.
  2. Menegakkan Prinsip Anti-Rasuah Badan Korporat Malaysia dalam menjalankan perniagaan.
  3. Mewujudkan persekitaran perniagaan yang bebas daripada rasuah.
  4. Tidak akan melibatkan apa-apa amalan atau aktiviti perniagaan yang boleh menggalakkan pekerja, wakil atau ejennya untuk melakukan apa-apa aktiviti haram atau tidak beretika.
  5. Mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak untuk sebarang tindakan yang boleh merosakkan integriti dan imej PUSPAKOM.

Pada Disember 2022, PUSPAKOM telah menyempurnakan pelaksanaan Rantaian Nilai Sistem Integriti Korporat Malaysia (CISM) [CIP Version 2.0] dengan membangunkan dan melaksanakan 7 Inisiatif CISM yang menerapkan nilai etika dan elemen anti rasuah dalam budaya perniagaan dan aktiviti PUSPAKOM.

Sijil Pelaksanaan CIP Versi 2.0 boleh dirujuk kepada Sijil Penyertaan Program Sistem Integriti Korporat Malaysia (CISM)

Polisi Anti Rasuah

PUSPAKOM mengamalkan toleransi sifar terhadap segala bentuk kegiatan yang berkaitan dengan rasuah, suapan, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan. Polisi Anti Rasuah ini menyatakan komitmen PUSPAKOM kepada integriti dan mempromosikan budaya ketelusan, keterbukaan, kejujuran, etika dalam menjalankan operasinya dan aktiviti perniagaan.

Polisi ini menyediakan prinsip, garis panduan dan keperluan bagaimana untuk menangani amalan rasuah dan suapan yang timbul dalam aktiviti perniagaan dan operasi harian di dalam PUSPAKOM.

Ia juga bertujuan untuk memberi panduan kepada semua pekerja di PUSPAKOM dalam menjalankan aktiviti perniagaan dan operasi secara sah, beretika dan berintegriti.

Polisi ini adalah terpakai kepada semua pihak pengurusan dan pekerja PUSPAKOM dan semua vendor, pembekal, kontraktor, pengedar, perunding dan lain-lain pihak yang menjalankan kerja / perkhidmatan untuk / bagi pihak PUSPAKOM serta para pelanggan dan wakil pelanggan yang mendapatkan perkhidmatan PUSPAKOM di mana semua pihak tersebut adalah dikehendaki mematuhi polisi ini.

Isi kandungan penuh Polisi Anti Rasuah boleh dirujuk ke Polisi Anti Rasuah PUSPAKOM.

Prosedur Pemberian Maklumat

PUSPAKOM telah mewujudkan Prosedur Pemberian Maklumat dengan tujuan untuk menyediakan saluran dan memudahkan pekerja, pelanggan, wakil pelanggan, vendor, kontraktor, pembekal, perunding, pengedar, lain-lain pihak ketiga, dan orang awam untuk mendedahkan atau melaporkan aktiviti salah laku, penyelewengan, rasuah, tidak sah atau tidak beretika yang bertentangan dengan amalan dan tingkah laku perniagaan PUSPAKOM.

Prosedur ini wujud untuk memastikan bahawa pemberi maklumat akan dilindungi kerana PUSPAKOM akan mengambil langkah-langkah yang munasabah untuk mengekalkan kerahsiaan pemberi maklumat apabila membuat pendedahan melainkan sebaliknya pemberi maklumat itu memutuskan untuk mendedahkan identiti atau penyiasatannya oleh pihak berkuasa penguatkuasa undang-undang memerlukan maklumat yang PUSPAKOM perlu patuhi, oleh itu kewajipan dan tanggungjawab sedemikian untuk mengekalkan kerahsiaan tidak lagi diwajibkan oleh PUSPAKOM. Pemberi Maklumat dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010. Selain itu, PUSPAKOM juga memberi jaminan bahawa pemberi maklumat itu akan dilindungi daripada tindak balas atau apa-apa tindakan yang merugikan dan memudaratkan bahawa pendedahan itu mesti dibuat berdasarkan fakta dan bukti. PUSPAKOM akan memulakan siasatan menyeluruh sebaik sahaja menerima maklumat.

PUSPAKOM mengalu-alukan dan menggalakkan pekerja, pelanggan, wakil pelanggan, vendor, kontraktor, pembekal, perunding, pengedar, dan lain-lain pihak ketiga untuk datang kepada kami dengan sebarang kebimbangan mengenai tindakan yang menyalahi peraturan atau tidak beretika seperti berikut (senarai ini tidak lengkap):

  1. Insiden penipuan yang disyaki atau sebenar.
  2. Tingkah laku atau aktiviti yang melanggar mana-mana undang-undang samada yang disyaki atau sebenar.
  3. Pelanggaran polisi atau prosedur PUSPAKOM yang disyaki atau sebenarnya.
  4. Tingkah laku yang mengelirukan termasuk tindakan atau perwakilan yang tidak wajar atau mengelirukan.
  5. Pendedahan atau sabotaj mengenai sebarang proses audit dalaman atau luaran.
  6. Pelanggaran kerahsiaan.

Aduan boleh dilaporkan melalui saluran berikut:

  1. Emel ke whistleblowing@drb-hicom.com; atau
  2. Hubungi 1-800-88-2005; atau
  3. Tulis maklumat / aduan anda dan hantar ke: 

         Bahagian Audit Dalaman Kumpulan
         DRB-HICOM Berhad
         Level 5, Wisma DRB-HICOM
         No.2, Jalan Usahawan U1/8,
         Seksyen U1, 40150 Shah Alam
         Selangor Darul Ehsan, Malaysia

test