WAKIL PELANGGAN YANG DILULUSKAN OLEH PUSPAKOM (PAR)
(PAR - PUSPAKOM Approved Customer Representative)
1. Pendahuluan
PUSPAKOM Sdn Bhd memegang komitmen untuk mengekalkan tahap amalan tertinggi di dalam semua urusan perniagaan, agar semua perniagaan kami dapat dijalankan secara adil, professional dan saksama selaras dengan semua peraturan dan undang-undang.
PUSPAKOM mendapati bahawa masih terdapat pemilik kenderaan yang menggunakan khidmat “runner” (orang tengah) bagi urusan pemeriksaan kenderaan di cawangan-cawangan PUSPAKOM. “Runner” ini bukanlah orang yang dilantik oleh PUSPAKOM, maka pihak PUSPAKOM tidak mempunyai sebarang kawalan atau pengetahuan berkaitan aktiviti-aktiviti “runner” ini.
Pihak PUSPAKOM mengorak langkah memulakan inisiatif bagi menggalakkan “runner” untuk berdaftar di PUSPAKOM dengan memperkenalkan kemudahan temujanji dan bayaran dalam talian (MyPUSPAKOM) bagi “Wakil Pelanggan Yang Diluluskan Oleh PUSPAKOM” (dalam Bahasa Inggeris, “PUSPAKOM Approved Customer Representative”) atau singkatan mudah “PAR”.
Namun begitu, PUSPAKOM masih mengalu-alukan dan menggalakkan orang ramai untuk hadir sendiri ke cawangan bagi urusan pemeriksaan kenderaan dan inisiatif ini tidak berniat untuk menafikan hak Pelanggan untuk hadir sendiri.
PUSPAKOM percaya bahawa “runner” juga kebanyakannya berkhidmat dengan ikhlas dan telahpun meraih kepercayaan daripada pelanggan-pelanggan. Namun masih terdapat “runner” yang memanipulasikan Pelanggan. Peribahasa Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga sangat tepat untuk menggambarkan perkara ini.
Program PAR ini adalah satu inisiatif mewujudkan suatu persekitaran yang positif dan situasi menang-menang bagi pihak-pihak yang berurusan di PUSPAKOM, berteraskan integriti, prinsip ketelusan dan amanah. Mewujudkan keharmonian antara Pelanggan, Wakil Pelanggan atau Pembawa Kenderaan dan PUSPAKOM.
2. Apa itu PAR?
Wakil Pelanggan yang mendaftar di bawah Program PAR melalui MyPUSPAKOM dan sudah melalui proses penapisan oleh pihak PUSPAKOM dengan kerjasama daripada pihak berkuasa.
- Kriteria pendaftaran sebagai PAR adalah seperti berikut:
- Pendaftaran terbuka kepada syarikat yang ditubuhkan dengan Suruhajaya Syarikat Malaysia (SSM) dibawah Akta Syarikat 2006 (milikan tunggal/enterprise, sendirian berhad atau berhad).
- Syarikat dibenarkan untuk mendaftarkan 5 individu sebagai wakil.
- Mana-mana individu yang didaftarkan mestilah warganegara Malaysia yang berumur 21 tahun ke atas.
- Bebas rekod jenayah.
- Tidak diistiyhar muflis.
- Membaca Kod Etika/Amalan dan Syarat-Syarat PAR dan patuh terhadap keperluan dibawah Kod Etika dan Syarat-Syarat PAR.
3. Kenapa pelanggan digalakkan menggunakan khidmat PAR?
- PAR telahpun melalui proses penapisan oleh pihak PUSPAKOM dengan kerjasama daripada pihak berkuasa.
- Ketelusan maklumat berkaitan bayaran.
- Boleh memberikan maklumbalas berkaitan perkhidmatan PAR.
- Boleh membuat aduan berkaitan khidmat PAR kepada PUSPAKOM melalui talian khas. Sekiranya mempunyai sebarang pertanyaan, keraguan atau merasa tidak puas hati terhadap perkhidmatan PAR, Pelanggan boleh menghubungi talian khidmat pelanggan di 03 - 51017000.
4. Urus niaga Pelanggan dan PAR di PUSPAKOM
1. Setiap transaksi atau perjanjian urus niaga (sama ada bertulis atau tidak) antara Pelanggan dan PAR:
- Adalah transaksi peribadi diluar kawalan PUSPAKOM, dilakukan atas persetujuan Pelanggan;
- PUSPAKOM tidak terlibat dalam transaksi tersebut;
- PUSPAKOM tidak memberi sebarang komisen kepada PAR;
- PUSPAKOM tidak menerima sebarang komisen daripada PAR;
- Pelanggan mengambil risiko sendiri dengan bersetuju untuk menerima tawaran perkhidmatan yang diberikan oleh Wakil Pelanggan (sama ada PAR atau tidak).
2. PAR boleh membuat tempahan temujanji atau pertanyaan bagi pihak Pelanggan dengan niat baik dan sah dan anda tidak akan membuat sebarang penipuan sama ada kepada Pelanggan atau kepada sistem PUSPAKOM, ketika membuat tempahan temujanji.
3. Membuat tempahan melalui Sistem Tempahan dan Pembayaran Atas Talian MyPUSPAKOM.
4. Memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua pelanggan PUSPAKOM yang ingin menjalankan pemeriksaan dan tidak melakukan apa-apa perbuatan, atau mengeluarkan sebarang kenyataan atau membuat sebarang tindakan yang boleh memberikan kesan negatif ataupun tanggapan buruk terhadap PUSPAKOM.
5. Ganti rugi / Indemniti
- PUSPAKOM menafikan semua liabiliti, kerugian atau kerosakan yang disebabkan secara langsung atau tidak langsung daripada perkhidmatan PAR. Sebarang keputusan yang dibuat oleh anda adalah atas risiko anda sendiri.
- Isi kandungan penuh boleh dirujuk ke KOD ETIKA/AMALAN DAN SYARAT-SYARAT BAGI WAKIL PELANGGAN YANG DILULUSKAN OLEH PUSPAKOM (PAR)
6. Senarai PAR
PUSPAKOM masih mengalu-alukan dan menggalakkan orang ramai untuk hadir sendiri ke cawangan bagi urusan pemeriksaan kenderaan. Sekiranya tidak dapat hadir sendiri, para pelanggan adalah digalakkan untuk menggunakan khidmat PAR. Berikut merupakan senarai PAR yang berdaftar dengan PUSPAKOM:
Kedah
Kelantan
Kuala Lumpur
Labuan
Melaka
Negeri Sembilan
Pahang
Perak
Perlis
Pulau Pinang
Putrajaya
Sabah
Sarawak
Selangor
Terengganu
Nota: Segala urus niaga dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh PAR adalah di antara pihak pelanggan dan PAR sendiri tanpa melibatkan PUSPAKOM.
7. Lapor kepada kami untuk sebarang aduan berhubung salah laku integriti
Sebarang aduan berkaitan dengan integriti, rasuah, penipuan atau manipulasi oleh wakil PAR, pelanggan boleh menyalurkan maklumat ke saluran berikut atau klik sini Urus Tadbir Korporat untuk maklumat lanjut.
- Emel ke whistleblowing@drb-hicom.com; atau
- Hubungi 1-800-88-2005; atau
- Hantar ke Bahagian Audit Dalaman Kumpulan, DRB-HICOM Berhad, Level 5, Wisma DRB-HICOM, No.2, Jalan Usahawan U1/8, Seksyen U1, 40150 Shah Alam, Selangor